Sdra Dr Muhamad Fuad sebagai Naqib |
AlhamdulilLah Program Usrah STAROBA sesi pertama telah berjalan lancar pada hari Ahad 14 April 2013.
Program ini telah diadakan di Bilik Balqis, Masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Program ini telah diadakan di Bilik Balqis, Masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Program Usrah ini telah diketuai oleh Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib.
Seramai 17 orang telah menyertai Program Usrah ini, terdiri daripada:
- Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib
- Sdra Azlan Abdullah dan isteri
- Sdra Dato' Mohamed Idris Saman
- Sdra Yusoff Ahmad
- Sdra Che Yusoff Che Omar dan isteri
- Sdra Dr Hamdan Noor dan isteri
- Sdra Dr Ibrahim bin Mohamad dan isteri
- Sdra Mohd Fathil Sharfiff dan isteri
- Sdra Dr Shamsuddin Mukhtaram
- Sdra Engku Aziz S Mohd
- Sdra Wan Roshaimi
- Sdra Ahmad Puzi Rais
Sdra Azlan, Dr Fuad dan Dr Hamdan |
Peserta lelaki diawal program |
Para isteri juga turut serta |
Bacaan Al-Quran
Semua peserta lelaki dan dua peserta wanita telah mengambil peluang untuk membaca Surah 87 Al A'laa dengan panduan tajwid oleh Naqib.
Peserta terakhir, Sdra Mohd Fathil, memperdengarkan bacaan |
Surah Makkiyyah ini mengandungi tiga tema: Tauhid, perintah kepada Nabi s.a.w dan Hari Akhirat.
Tauhid:
Dalam ayat 1-5 kita diperingatkan supaya kita bertasbih mensucikan nama Tuhan Yang Maha Tinggi. Dijelaskan bahawa setiap makhluk ciptaan Allah bertasbih kepadaNya dengan cara masing-masing.
Tuhan telah menciptakan dan menyempurnakan penciptaanNya. Setiap makhluk telah ditentukan qada' dan qadar masing-masing dan diberi petunjuk untuk melaksanakan tugas masing-masing. Kita menyaksikan manifestasi kuasa Allah ini setiap siang dan malam seperti bagaimana Tuhan mencipta tumbuh-tumbuhan di bumi ini dan kemudian mematikannya. Tidak ada kuasa lain yang dapat mencipta tumbuh-tumbuhan atau menghalang kematiannya.
Perintah kepada Nabi s.a.w:
Dalam ayat 6-8 Allah s.w.t menyakinkan Nabi s.a.w. tidak akan lupa ayat-ayat Al-Qur'an kecuali jika Allah mengkehendakinya. Kekuatan ingatan Nabi ini bukanlah kerana kepintaran Nabi sendiri tetapi adalah hasil dari Rahmat Allah jua dan jika dikehendakiNya, Allah boleh membuat Nabi lupa.
Nabi s.a.w. kemudiannya diperingatkan bahawa Baginda tidak bertanggung-jawab membawa semua manusia ke jalan yang benar; tugas Nabi hanyalah menyampaikan yang benar. Allah telah memberi kemudahan kepada baginda untuk melaksanakan syariat yang akan membawa kepada kebahagian dunia dan akhirat. Nabi s.a.w. telah diperintahkan untuk memberikan peringatan kepada manusia kerana peringatan ini bermanfaat. Orang yang takutkan Allah akan mendengar dan menerima kebenaran ini. Sebaliknya orang yang celaka akan menjauhinya - mereka ini tidak perlu didesak untuk menerima kebenaran dan mereka ini akan melihat sendiri buruknya akhir mereka nanti.
Hari Akhirat:
Akhir surah ini merumuskan "Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan diri (dengan beriman). Dan mengingati nama Tuhannya, lalu dia solat. Sedangkan kamu (orang kafir) memilih kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya ini terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu. (Ia-itu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa."
Sumber: Tafheem Ul Quran by Syed Abul A'ala Maududi
Hadis 40 Imam An-Nawawi
Selepas itu perbincangan tentang Hadis ke 14 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi dijalankan.
Makna hadis:
Daripada Ibnu Mas'uud r.a. beliau berkata: RasululLah s.a.w. telah bersabda: "Darah seseorang muslim tidak halal kecuali dengan satu dari tiga perkara: Orang berkahwin yang melakukan zina, nyawa dengan nyawa, dan orang yang meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jamaah"
- Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim
Pokok perbincangan dan pengajaran hadis:
1. Terpelihara darah orang Islam
Mengikut hukum Allah s.w.t seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara'.
Allah melaknat dan menjanjikan azab yang pedih kepada orang yang membunuh orang Islam dengan cara yang tidak benar.
2. Orang yang mesti dihukum bunuh
Ada beberapa kategori orang yang dihalalkan darahnya iaitu mesti dihukum bunuh:
a. Zina orang yang berkahwin
Orang yang telah merasa nikmat perkahwinan halal, yang berzina maka ijma' ulama hukumnya direjam sampai mati.
b. Membunuh dengan sengaja
Orang yang membunuh dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara' ijma' ulama mengatakan hukumnya balas bunuh iaitu qisas. Lihat Surah al-Maidah ayat 45. Mengikut pendapat jumhur Imam Malik, Ahmad dan Syafi'e, digugurkan qisas jika
- bapa bunuh anak
- orang Islam bunuh orang kafir
- orang merdeka bunuh hamba
c. Murtad
Orang yang sengaja meninggalkan jamaah muslimah, sama ada lelaki atau perempuan, hukumnya ialah bunuh. Mengikut hadis Nabi kepada Mu'az ketika ke Yaman - bila orang murtad, hendaklah orang itu diberi nasihat, diajak kembali kepada Islam, kemudian jika ia enggan hendaklah dipenggal lehernya.
Ada perselisihan pendapat tentang hukum murtad ini. Ada pendapat yang mengatakan jika seseorang itu murtad secara diam-diam dan tidak menggugat keamanan Islam, maka ia tidak dikenakan hukum bunuh. WalLahu a'lam.
Sumber: www.anuar2u.com/download/Hadis%2040.pdf
Selepas tamat perbincangan semua peserta menjamu selera jamuan ringan yang disediakan.
Majlis diakhiri dengan solat Zuhr bersama-sama di dewan solat utama Masjid Al Ghufran.
JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad kerana telah menjadi Naqib Usrah.
JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi pertama ini.
InsyaAllah Program Usrah STAROBA sesi ke 2 akan diadakan pada hari Sabtu 18 Mei 2013. InsyaAllah tempat usrah sesi ke 2 ini adalah di Bilik Balqis Masjid Al-Ghufran juga.
Laporan disediakan oleh Ahmad Puzi bin Rais, 23 April 2013