AlhamdulilLah Program Usrah STAROBA sesi kelapan telah berjalan lancar pada hari Sabtu 1 Mac 2014. Program ini telah diadakan di Rumah Rumah Sdra Khalid Hamid (STAR'66) (Facebook: Kah Lenggong), 31 Jalan Meringin, Bukit Meringin, Sg Ramal Luar, Kajang.
Program Usrah ini telah diketuai oleh Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib.
Seramai 19 orang STARobs dan 7 Isteri telah menyertai Program Usrah ini, terdiri daripada:
- Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib
- Khalid Hamid (Kah Lenggong) dan isteri, sebagai tuan rumah
- Azlan Abdullah dan isteri
- Dr Hamdan Noor dan isteri
- Che Yusoff Che Omar dan isteri
- Dr Ibrahim Mohamed dan isteri
- Kamaruddin Salleh dan isteri
- Dato' Hamzah Ibrahim
- Dr Shamsuddin Mukhtaram
- Hamid Shafie
- Che Abd Rahim Che Ahmad
- Bani Hasan Basir
- Wan Mohd Nor Wan Ismail
- Jamarie Othman
- Abd Razak Bakar
- Isa Duseh
- Hilmi Khalid
- Ramlan
- Ahmad Puzi Rais dan isteri
Disamping itu peserta-peserta kelas Qur'an Ustazah Hamidah (Puan rumah) juga hadir dan menyertai membaca Al-Qur'an.
Bacaan Al-Qur'an
Di sesi ini peserta-peserta telah membaca Surah 36 Yasin (Ayat 60-70) dengan panduan tajwid oleh Naqib.
Hukum tajwid yang dibincangkan kali ini adalah cara membaca kalimah yang bermula dengan
Alif/Hamzah wasal; selalunya tidak ada tanda baris pada huruf ini. Ia disebut pada permulaan bacaan dan digugurkan sebutannya ketika dibaca secara sambung dengan kalimah sebelumnya. Tanda Hamzah Wasal ialah terdapat huruf Sad kecil di atas huruf Alif.
Cara membacanya:
- Kalau kalimah itu adalah kata nama, maka kalimah itu dimulakan bacaannya dengan baris atas. Kebanyakan kalimah kata nama dimulakan dengan huruf Alif Lam. Ada pengecualian untuk beberapa kalimah kata nama seperti ismu, ibnu, dan dua tiga kalimah kata nama lain.
- Kalau kalimah itu adalah kata kerja/perbuatan atau kata perintah, permulaan bacaan kalimah itu bergantung kepada baris untuk huruf ketiga dalam kalimah tersebut:
- dimulakan bacaannya dengan baris bawah jika huruf ketiganya berbaris atas atau berbaris bawah
- dimulakan bacaannya dengan baris depan jika huruf ketiganya berbaris hadapan
Juga dibincangkan hukum nun sabdu dan mim sabdu - ia perlu didengungkan dua harakat.
Naqib juga memberi nasihat agar kita menghormati Al-Qur'an dengan peradaban mulia. Contohnya apabila kita membaca Al-Qur'an adalah kurang beradab jika kita duduk bersandar.
Sumber:
Tajwid Asas
Pendidikan Untuk Semua
Hadis 40 Imam An-Nawawi
Perbincangan Hadis ke 19 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi juga dijalankan.
Maksud hadis:
Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: "Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih.
Dalam riwayat selain al-Tirmizi, hadis berbunyi:
"Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan."
Pengajaran hadis:
- Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.
- Segala permintaan, mohon pertolongan dan perlindungan hendaklah hanya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Tidak ada makhluk atau Tuhan lain yang mampu menolong dan melindungi manusia kecuali Allah SWT jua.
- Segala apa yang berlaku dan menimpa manusia adalah ketetapan Allah SWT (Qada' dan Qadr), bukannya kerana sebab dan usaha manusia. Manusia tidak berkuasa untuk memberi manfaat atau memberi mudharat kepada mana-mana hamba, walaupun seluruh manusia dan jin berhimpun untuk bergotong royong melakukannya.
- Umat lslam mestilah yakin bahawa kemenangan akan tercapai dengan adanya kesabaran, setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan.
Sumber:
Salam Garden
Permintaan Khas
Selepas tamat perbincangan, tuan rumah telah minta naqib untuk mengetuai Salawat Nabi dan bacaan doa selamat.
Ini diikuti dengan menjamu selera jamuan yang disediakan oleh tuan rumah. Majlis diakhiri dengan solat Zuhr bersama-sama diimamkan oleh Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah.
- JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Dr Muhamad Fuad kerana telah menjadi Naqib Usrah.
- JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Khalid Hamidmdan isteri, Puan Hamidah, kerana sudi menjadi tuan rumah sesi ini.
- JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ini.
Program Usrah STAROBA akan datang
InsyaAllah Program Usrah STAROBA sesi ke 9 akan diadakan seperti berikut:
Hari: Sabtu 5 April 2014
Tempat: Bilik Balqis, Aras B2, Kompleks Masjid Al-Ghufran
6C Jalan 4/71B, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail,
60000 Kuala Lumpur.
Pengisian:
• Pembaikan bacaan Al-Qur’an: Surah 36 Yasin (Ayat 71-83)
• Membincang Hadis 40 Imam An-Nawawi: Hadis 20
Laporan disediakan oleh Ahmad Puzi bin Rais, 20 Mac 2014