Wednesday, February 7, 2018

Bahan-bahan Rujukan

Sumber bahan-bahan rujukan yang boleh digunakan untuk sesi Usrah:
  1. Al Qur'an Terjemahan
    Sumber: Search Truth
  2. Baca'an Al Qur'an
    Sumber: Quranicaudio
  3. Tafsir Tafhim al-Qur'an (Towards Understanding the Qur'an) oleh Sayyid Abul A'la Maududi
    Sumber: Islamicstudies
  4. Hadis 40 Imam Nawawi
    Sumber:  Salam Garden
  5. Riyadhus Shalihin
    Muat-turun terjemahan dari Ashabul-Muslimin


Tuesday, February 6, 2018

Program Usrah STAROBA Sesi Ke-41 Sabtu 27 Januari 2018 - Laporan

Sdra Azlan Abdullah
AlhamdulilLah Program Usrah STAROBA sesi ke-41 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 27 Januari 2018.  Program ini telah dianjurkan oleh Tuan Presiden Sdra Azlan Abdullah (STAR '71) dan diadakan di Dewan Dato' Dr. Ghazali, Masjid Al Mukminun, Jalan USJ 2/4S, Subang Jaya 47600, Selangor.  


Sdra Che Abd Rahim Che Ahmad
Program Usrah ini telah diketuai oleh Sdra Che Abd Rahim Che Ahmad ('71) sebagai Naqib.  

Seramai  orang 14 STARobs dan 8 Isteri telah menyertai Program Usrah ini, terdiri daripada:

  1. Che Abd Rahim Che Ahmad ('71) sebagai Naqib
  2. Tan Sri Abdul Samad Alias ('61) dan isteri
  3. Dr Mawardi Ab Rahman ('68)
  4. Zainal Abidin Dzulkarnain ('69) dan isteri
  5. Azlan Abdullah ('71) dan isteri
  6. Dr Rusli Mohd ('71) dan isteri
  7. Dr Abdul Rahman Hj Mohd Noor (Haji Mae) ('71) dan isteri
  8. Ab Hamid Shafie ('71) dan isteri
  9. Ahmad Puzi Rais ('71) dan isteri
  10. Che Yusoff Che Omar ('71) 
  11. Abas Ramli ('71)
  12. Muhamad Darif Idris ('72)
  13. Hasan Samad ('73)
  14. Sembang-sembang teh sebelum sesi dimulakan
  15. Jamian Basar ('77) dan isteri


Alu-aluan


Ucapan alu-aluan oleh Nazir masjid
Sdra Abas Ramli telah memperkenalkan Nazir Masjid Al Mukminun, Tuan Haji Zainal Abidin Zakaria, kepada semua peserta. Tuan Haji Zainal Abidin kemudiannya mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan berterima kasih kerana memilih Masjid ini untuk berusrah. Beliau jua menyokong cadangan menjadikan Masjid ini tempat kekal usrah STAROBA untuk sesi-sesi akan datang.  





Bacaan Al-Qur'an

Di sesi ini peserta-peserta telah membaca Surah 23 Al-Mu'minuun (Ayat 60-89) dengan panduan tajwid oleh Naqib.

Makna ayat-ayat itu dibacakan:

60 Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;

61 Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.

62 Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya.

63 (Sekalipun demikian, orang-orang yang ingkar tidak juga berfikir) bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan, lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya;

64 Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang mewah di antara mereka maka dengan serta-merta mereka menjerit-jerit meminta tolong.

65 (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami.

66 (Kerana) sesungguhnya ayat-ayatKu telah berkali-kali dibacakan kepada kamu, dalam pada itu kamu berpaling undur ke belakang;

67 Dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya, serta mencacinya dalam perbualan kamu pada malam hari.

68 Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?

69 Atau kerana mereka tidak kenal rasul mereka, lalu mereka mengingkarinya?

70 Atau kerana mereka mengatakan: Dia kena penyakit gila? (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.

71 Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

72 Atau adakah (mereka menolak seruanmu itu kerana) engkau meminta kepada mereka suatu pemberian (sebagai hasil pendapatan seruanmu)? (Ini pun tidak!) Kerana engkau percaya pemberian Tuhanmu lebih baik dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

73 Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya menyeru mereka ke jalan yang lurus;

74 Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sudah tentu tidak mengikuti jalan yang lurus itu.

75 Dan sekiranya Kami menaruh belas kasihan kepada mereka serta Kami hapuskan kesusahan yang menimpa mereka, nescaya mereka akan tetap terus meraba-raba dalam kesesatan mereka yang melampaui batas itu.

76 Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat);

77 Sehingga apabila Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu yang menyebabkan azab yang berat, maka mereka serta-merta berputus asa dengan sebabnya dari mendapat sebarang kebaikan.

78 Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

79 Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

80 Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?

81 (Mereka tidak juga mahu berfikir) bahkan mereka berkata seperti yang dikatakan oleh orang-orang dahulu (yang ingkar);

82 Mereka berkata: Adakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan (hidup semula)?

83 Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan perkara ini kami dan datuk nenek kami dari dahulu lagi; perkara ini hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala.

84 Tanyakanlah (wahai Muhammad): Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?

85 Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?
86 Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?

87 Mereka akan menjawab: (Semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu bertakwa?

88 Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta dia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!

89 Mereka akan menjawab: (Segala-galanya) dikuasai Allah. Katakanlah: Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?



Sumber:  Search Truth 

Hadis 40 Imam An-Nawawi

Hadis 42 dibacakan.

Maksud hadis:

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.

Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.

Pengajaran hadis:

  1. Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai.
  2. Allah berjanji akan mengampunkan segala dosa hamba-hambaNya yang berdosa walau berapa banyak dosa tersebut dengan syarat mereka berdoa, minta ampun dan mengharapkan keampunanNya dan dengan syarat dia mati dalam lman, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
  3. Syirik adalah dosa besar paling dahsyat yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT walaupun semasa di dunia dia seorang yang baik, beramal soleh dan melakukan banyak kebajikan. Amal soleh tidak memberi apa-apa erti apabila dihimpunkan berserta syirik. Sebaliknya, orang-orang yang melakukan dosa yang bertimbun banyaknya, dia masih mempunyai harapan untuk mendapat kurnia dan pengampunan Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengampun dengan sebab kelebihan imannya.
  4. Hadis ini tidak bertujuan menggalakkan orang-orang mukmin melakukan dosa, sebaliknya ia hanya menunjukkan peri betapa besar dan luasnya rahmat dan keampunan Allah SWT. 

Sumber: Salam Garden 


Penutup

Majlis diteruskan dengan menjamu selera jamuan yang disediakan. 
 




JazakalLahu Khairan Kathira kepada Che Abd Rahim Che Ahmad ('71) kerana telah menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ini.

Penghargaan


JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Azlan Abdullah (STAR '71) dan isteri Hajah Norbayah Ishak kerana sudi menjadi tuan rumah sesi ini.

"Ya Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Kurniakanlah tuan rumah sesi ini dan keluarganya dengan kebaikan yang banyak dan dengan balasan yang terbaik.

Ya Allah, terimalah sumbangannya ini sebagai satu amal jariah yang akan dibalas dengan syurga diakhirat kelak.  Kau ampunilah segala dosa-dosanya dan permudahkan segala urusannya.  Jadikanlah sumbangannya ini  pembersih/penyuci/penggubat buatnya sekeluarga.  Murahkan dan berkati rezekinya.  Berilah keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kepadanya dan ahli2 keluarganya.  Jadikanlah dia terus istiqamah dalam membantu golongan yang memerlukan.

Ya Allah! Berilah rahmat kepadanya dan keluarganya.

Amin, amin, Ya Rabbul 'alamin."

Program Usrah STAROBA akan datang

Inn Syaa Allah tarikh dan tempat Program Usrah STAROBA sesi ke-42 akan diadakan seperti berikut:

Waktu:  10.00 pagi hingga 1.00 petang
Hari:      Sabtu 24 Feb 2018
Tuan Rumah: Y. Bhg. Dato' Dr Noor Azmi Ibrahim ('63)
Tempat: Dewan Dato' Dr. Ghazali, Masjid Al-Mukminun, Jalan USJ 2/4S, Subang Jaya 47600, Selangor
GPS Coordinates: 3.0599989,  101.5854452

Pengisian: 
  
•  Pembaikan bacaan Al-Qur’an: Surah 23 Al-Mu'minuun (mulai Ayat 90)
•  Membincang Hadis: Akan ditentukan 

Harap dapat dicatitkan dalam kalendar/planner anda sekalian.

Laporan disediakan oleh Ahmad Puzi bin Rais, 6 Feb 2018