Tuesday, November 1, 2016

Program Usrah STAROBA Sesi Ke-30 Sabtu 15 Oktober 2016 - Laporan

AlhamdulilLah Program Usrah STAROBA sesi ke-30 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 15 Oktober 2016. Program ini telah dianjurkan oleh Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah (STAR’71) dan diadakan di Surau Al-Amin, Jalan Sari Ilmia 2, Alam Sari, 43000 Kajang, Selangor.
Program Usrah ini telah diketuai oleh Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib.

Seramai  orang 16 STARobs dan 5 Isteri anak telah menyertai Program Usrah ini, terdiri daripada:

  1. Dr Muhamad Fuad Abdullah ('71) sebagai Naqib dan tuan rumah
  2. Zainal Abidin Dzulkarnain ('69) dan isteri
  3. Dr Hamdan Noor ('71) dan isteri 
  4. Kamaruddin Salleh ('71) dan isteri
  5. Dr Shamsuddin Mukhtaram ('71) dan isteri
  6. Azlan Abdullah ('71)
  7. Che Abd Rahim Che Ahmad ('71)
  8. Dato' Hamzah Ibrahim ('71) 
  9. Dr Abdul Rahman Hj Mohd Noor (Haji Mae) ('71) 
  10. Ahmad Darus ('71) 
  11. Dr Rusli Mohd ('71)
  12. Jasni Ladin ('71)
  13. Bani Hasan Basir ('71) 
  14. Ahmad Puzi Rais ('71) dan isteri
  15. Jamian Basar ('77) 
  16. Ahmad Qisti Ramli (STAR '83)

Serta beberapa ahli qariah Surau Al-Amin.





Bacaan Al-Qur'an

Di sesi ini peserta-peserta telah membaca Surah 57 Al-Hadid (Ayat 19-29) dengan panduan tajwid oleh Naqib.

Makna ayat-ayat itu juga dibacakan:

19 Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang-orang "Siddiqiin" dan orang-orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang mati syahid itu dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.

20 Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

21 Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

22 Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

23 (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

24 Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina) dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

25 Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

26 Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab agama maka sebahagian di antara mereka: Orang yang beroleh hidayat petunjuk dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik (derhaka).

27 Kemudian Kami iringi sesudah mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibni Mariam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri) dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik (derhaka).

28 Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

29 (Ditetapkan pemberian yang demikian kepada kamu) supaya golongan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani yang menentang Islam) mengetahui, bahawa sesungguhnya mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendapat (atau menyekat) sesuatu dari limpah kurnia Allah dan bahawa sesungguhnya limpah kurnia itu terletak dalam kekuasaan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan (ingatlah), Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar.

Naqib juga telah mentafsirkan ayat-ayat di atas.

Sumber:  Search Truth 





Hadis 40 Imam An-Nawawi

Hadis no. 36 dibacakan.

Maksud hadis:

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim dengan lafaz ini.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:

Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya. 

Pengajaran hadis:
  1. lslam adalah agama tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.
  2. lslam menggalakkan umatnya agar selalu melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam kesusahan hidup dan melindunginya serta memelihara ke'aibannya daripada disebarluaskan di kalangan manusia. Semua perbuatan tersebut dijanjikan Allah balasan yang setara dan setimpal dengan perbuatannya.
  3. Allah akan sentiasa menolong hamba-hambaNya selagimana mereka suka tolong menolong sesama mereka.
  4. llmu adalah cahaya menuju ke syurga. Barangsiapa yang menuntut ilmu, dengan niat ikhlas, Allah menjanjikan baginya kemudahan menuju jalan ke syurga.
  5. Berkumpul dan mengkaji al-Qur'an dan ilmu di masjid adalah antara amalan yang amat diberkati Allah. Para malaikat turun mengelingi mereka, ketenangan dan rahmat menyelubungi mereka. Mereka mendapat penghormatan agung dari Allah SWT apabila Dia menyebut nama mereka kepada para penghuni langit. 
  6. Sesungguhnya manusia dimuliakan dan memasuki syurga dengan amalannya dan rahmat Allah, bukannya dengan keturunan. Barangsiapa yang amalannya kurang dan atau amalan jahatnya menyusahkannya di akhirat nanti, nasab keturunan kebangsawanannya tidak mampu sama sekali memberi syafa'at kepadanya. Secara tidak langsung hadis ini menggesa umat lslam agar berbekal dengan amalan soleh untuk menghadapi hari akhirat nanti. 
Sumber: Salam Garden  




Penutup

Selepas itu peserta-peserta menunaikan solat Zuhr bersama-sama ahli qariah Surau Al Amin.

Majlis diteruskan dengan menjamu selera jamuan yang disediakan oleh tuan penanjur. 

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah kerana telah menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ini.

Penghargaan

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Dr Muhamad Fuad Abdullah ('71) kerana sudi menjadi tuan rumah sesi ini.

"Ya Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Kurniakanlah tuan rumah sesi ini dan keluarganya dengan kebaikan yang banyak dan dengan balasan yang terbaik.

Ya Allah, terimalah sumbangannya ini sebagai satu amal jariah yang akan dibalas dengan syurga diakhirat kelak.  Kau ampunilah segala dosa-dosanya dan permudahkan segala urusannya.  Jadikanlah sumbangannya ini  pembersih/penyuci/penggubat buatnya sekeluarga.  Murahkan dan berkati rezekinya.  Berilah keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kepadanya dan ahli2 keluarganya.  Jadikanlah dia terus istiqamah dalam membantu golongan yang memerlukan.

Ya Allah! Berilah rahmat kepadanya dan keluarganya.

Amin, amin, Ya Rabbul 'alamin."

Program Usrah STAROBA akan datang

InsyaAllah Program Usrah STAROBA sesi ke-31 akan diadakan seperti berikut:

Waktu:  10.00 pagi hingga 1.00 petang
Hari:      Sabtu 19 Nov 2016
Tuan Rumah: -
Tempat: Bakti TTDI, 1, Lorong Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

GPS Coordinates:  3.1460548,101.6306283

Pengisian: 
  
•  Pembaikan bacaan Al-Qur’an: Surah 58 Al-Mujaadila (mulai Ayat 1) 
•  Membincang Hadis 40 Imam An-Nawawi: Hadis no. 37

Laporan disediakan oleh Ahmad Puzi bin Rais, 31 Okt 2016

No comments:

Post a Comment