Thursday, May 26, 2016

Program Usrah STAROBA Sesi Ke-28 Sabtu 21 Mei 2016 - Laporan

Sdra Mohd Fauzi Mansur
AlhamdulilLah Program Usrah STAROBA sesi ke-28 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 21 Mei 2016.  Program ini telah dianjurkan oleh Sdra Mohd Fauzi Mansur (STAR '72) dan diadakan di Surau Al-Amin, bersebelahan dengan STAROBA Corner, Jalan 1/23E, Taman Setapak Indah, Setapak, Kuala Lumpur. 

Dr Muhamad Fuad Abdullah
Program Usrah ini telah diketuai oleh Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah sebagai Naqib.

Seramai  orang 11 STARobs dan 4 Isteri serta anak telah menyertai Program Usrah ini, terdiri daripada:

  1. Dr Muhamad Fuad Abdullah ('71) sebagai Naqib
  2. Tan Sri Abdul Samad Alias ('61) dan isteri
  3. Tajudin Ibrahim ('68) dan isteri serta anak
  4. Azlan Abdullah ('71) dan isteri
  5. Kamaruddin Salleh ('71) dan isteri
  6. Che Abd Rahim Che Ahmad ('71)
  7. Dr Shamsuddin Mukhtaram ('71)
  8. Dr Rusli Mohd ('71)
  9. Ab Hamid Shafie ('71)
  10. Jasni Ladin ('71)
  11. Roslan Md Diah ('74)

Bacaan Al-Qur'an

Di sesi ini peserta-peserta telah membaca Surah 56 Al-Waqi'ah (Ayat 51-96) dengan panduan tajwid oleh Naqib. Makna ayat-ayat itu juga dibacakan:
51 Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
52 Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
53 Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
54 Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
55 Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.
56 Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
57 Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
58 (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
59 Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
60 Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan; 
61 (Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya. 
62 Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak). 
63 Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? 
64 Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? 
65 Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, 
66 (Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian. 
67 Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) 
68 Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? 
69 Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya? 
70 Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. 
71 Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? 
72 Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? 
73 Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir. 
74 Oleh yang demikian (wahai orang yang lalai) bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu). 
75 Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran;  
76 Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, - 
77 Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), 
78 Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, 
79 Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; 
80 Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. 
81 Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini? 
82 Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)? 
83 Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya; 
84 Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, - 
85 Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, 
86 Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami); 
87 Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar? 
88 Kesudahannya: Jika dia (yang mati itu) dari orang-orang "Muqarrabiin",
89 Maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. 
90 Dan jika dia dari puak kanan, 
91 Maka (akan dikatakan kepadanya): Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan. 
92 Dan jika dia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat, 
93 Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, 
94 Serta bakaran api Neraka. 
95 Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini. 
96 Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

Naqib juga telah mentafsirkan ayat-ayat di atas.

Sumber:  Search Truth 






Hadis 40 Imam An-Nawawi

Hadis no. 34 dibacakan.

Maksud hadis:

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.

Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.

Pengajaran hadis:

  1. Menunaikan tanggungjawab dakwah iaitu menyeru kepada perkara ma'aruf dan mencegah kemungkaran adalah suatu kewajipan ke atas seorang mukmin yang tidak harus dipandang enteng, kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak.
  2. Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran berlaku di depan matanya, dan dia berkuasa mencegahnya sama ada dengan tangannya atau dengan lidahnya maka dia berkewajipan mencegah kemungkaran tersebut. Dia berdosa membiarkan kemungkaran tersebut berlalu tanpa sebarang tindakan atau percubaan mahu mencegahnya, kecuali kalau dia tidak mampu atau kerana dibimbangi akan membawa kemudharatan kepada dirinya apabila dia mencegah mungkar itu.
  3. Mencegah mungkar hanya dengan hati, iaitu dengan membencinya dan berazam mahu mencegahnya pada suatu masa nanti kalau dia mampu adalah tahap iman yang paling lemah. 

Sumber: Salam Garden  

Penutup

Majlis diteruskan dengan menjamu selera jamuan yang disediakan oleh tuan rumah di STAROBA Corner, Jalan 1/23E, Taman Setapak Indah, Setapak, Kuala Lumpur.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Dr Muhamad Fuad Abdullah kerana telah menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ini.


Penghargaan

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Mohd Fauzi Mansur (STAR '72) kerana sudi menjadi tuan rumah sesi ini.

"Ya Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Kurniakanlah tuan rumah sesi ini dan keluarganya dengan kebaikan yang banyak dan dengan balasan yang terbaik.

Ya Allah, terimalah sumbangannya ini sebagai satu amal jariah yang akan dibalas dengan syurga diakhirat kelak.  Kau ampunilah segala dosa-dosanya dan permudahkan segala urusannya.  Jadikanlah sumbangannya ini  pembersih/penyuci/penggubat buatnya sekeluarga.  Murahkan dan berkati rezekinya.  Berilah keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kepadanya dan ahli2 keluarganya.  Jadikanlah dia terus istiqamah dalam membantu golongan yang memerlukan.

Ya Allah! Berilah rahmat kepadanya dan keluarganya.

Amin, amin, Ya Rabbul 'alamin."

Program Usrah STAROBA akan datang

InsyaAllah Program Usrah STAROBA sesi ke-29 akan diadakan selepas Raya 'Aidil-Fitri. Tempat dan tarikhnya akan diumumkan nanti.

Pengisian:   

•  Pembaikan bacaan Al-Qur’an: Surah 57 Al-Hadid (mulai Ayat 1) 
•  Membincang Hadis 40 Imam An-Nawawi: Hadis no. 35

Laporan disediakan oleh Ahmad Puzi bin Rais, 26 Mei 2016

No comments:

Post a Comment